AHLI YANG TELAH MENDAFTAR
KEMENTERIAN Pelajaran disaran mewujudkan jawatan Pembantu Makmal Komputer sekolah bagi membantu guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) menggunakan kemudahan ICT dengan lancar, sekali gus memastikan pengurusan penyelenggaraan yang lebih teratur.
Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Datuk Madya Mohamad Ali Hasan, berkata seperti Pembantu Makmal Sains, skim khas jawatan baru itu perlu bagi membolehkan setiap sekolah mempunyai kakitangan khas memastikan operasi makmal komputer sekolah lancar.
“Masalah lazim komputer seperti virus memerlukan pengurusan penyelenggaraan teratur tetapi guru mempunyai masa terhad untuk melakukannya.
Justeru, kerajaan perlu mewujudkan skim khas bagi membolehkan sekolah melantik kakitangan berkemahiran ICT yang bukan di kalangan guru untuk menjalankan tanggung jawab ini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Sementara itu, Penyelaras ICT Sekolah Sultan Alam Shah (SSAS), Putrajaya, R Perumal, berkata sekolah itu mempunyai juruteknik komputer sendiri bagi memastikan peralatan ICT sentiasa dalam keadaan baik untuk kegunaan pelajar dan guru.
“Sebagai Sekolah Bestari, kami disyaratkan mempunyai juruteknik komputer sepenuh masa supaya sebarang kerosakan peralatan ICT yang tidak membabitkan kos tinggi dapat ditangani segera dan tidak menjejaskan pembelajaran,” katanya.
Perumal berkata, SSAS juga melantik 30 pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai Briged Bestari bagi membantu memantau keadaan peralatan komputer serta membantu menyelenggarakannya.
Bagi memantau penggunaan pula, katanya, sistem buku log digunakan yang mana pelajar dan guru perlu mencatatkan penggunaan dalam buku disediakan di setiap komputer.
“Menerusi catatan dalam buku log, kami dapat memantau dan mengenal pasti kekerapan guru serta kelas tertentu menggunakan kemudahan komputer dan membuat unjuran berkaitan penggunaan kemudahan itu,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.
Perumal berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kemudahan dibekalkan kerajaan dan syarikat swasta itu sentiasa dalam keadaan baik serta dapat dimaksimumkan penggunaannya.
“SSAS mempunyai kira-kira 200 komputer yang dibekalkan Kementerian Pelajaran dan Mimos. Sebahagian besarnya digunakan pada waktu persekolahan hingga 4.30 petang, manakala 20 lagi diletakkan di kafe siber untuk kegunaan pelajar selepas waktu sekolah. Kami juga bercadang meletakkan 10 komputer di ruang legar sekolah supaya pelajar boleh menggunakannya pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan memperkenalkan pelbagai bahan bantu mengajar ICT perlu dimanfaatkan guru kerana ia berkesan untuk melancarkan proses P&P, selain memberi peluang guru berkongsi kepakaran.
“Antaranya, inisiatif terbaru pengenalan laman web EduWeb TV membolehkan guru menghasilkan bahan pengajaran ke dalam laman web itu menerusi Bahagian Teknologi Pendidikan untuk dimanfaatkan guru lain di seluruh negara
“Bagi memastikan guru kami tahu perkembangan terbaru dalam ICT ini, latihan meningkatkan kemahiran menerusi kursus peringkat sekolah diadakan sekurang-kurangnya dua bulan sekali termasuk taklimat penggunaan projektor LCD dan Power Point Lanjutan,” katanya.
Labels: INFO PENDIDIKAN
0 comments:
Catat Ulasan