AHLI YANG TELAH MENDAFTAR
PELAJAR mahu penggunaan kemudahan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan menerusi projek makmal komputer sekolah dipertingkat bagi memudahkan kefahaman mereka dalam sesuatu topik serta mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Muhamad Safiq Amir Hamzah, berkata elemen menarik seperti grafik, gambar, animasi dan muzik dalam bahan perisian pendidikan menyuntik minatnya untuk mengikuti pengajaran guru di kelas berbanding penggunaan buku teks manual.
Katanya, soalan mencabar, nota penyampaian jelas, bahasa mudah serta unsur pengulangan dalam perisian pendidikan turut membantu proses pembelajarannya.
“Penggunaan perisian pendidikan secara kendiri di bawah bimbingan guru melatih saya berdikari dalam menimba ilmu pengetahuan dan menguji pemahaman terhadap sesuatu topik dengan berkesan,” katanya.
Rakannya, Mohamed Zulhilmi Zainudin, berkata penggunaan ICT membantu pengukuhan pemahamannya dalam subjek Sains dan Matematik.
Katanya, ciri interaktif dan diagram yang lebih jelas dan menarik menggunakan perisian pendidikan memudahkannya memahami topik dipelajari bagi kedua-dua subjek berkenaan.
“Apabila ruang dan kemudahan di makmal komputer tidak mencukupi, guru mengambil inisiatif memasang projektor LCD bergerak di auditorium supaya lebih ramai pelajar dapat mengikutinya,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hwa Lian, Mentakab, Pahang, Lew Shang Qi, berkata tempoh kelas yang menggunakan kemudahan makmal komputer sekolah perlu dipanjangkan bagi memastikan semua murid dapat menggunakannya.
“Tempoh kelas yang singkat membataskan peluang pelajar menggunakan kemudahan ICT kerana kami perlu berkongsi satu komputer dengan beberapa rakan, namun jika dipanjangkan tempoh kelas, semua berpeluang mencubanya,” katanya.
Labels: INFO PENDIDIKAN
0 comments:
Catat Ulasan